Semalam, aku berborak-borak dengan makabah tentang pelaburan hartanah, sehingga pukul 1 pagi. Memang bangun pagi dan pergi kerja dengan keadaan masih lagi ngantuk, tapi alhamdulillah.
Aku puas dapat berbincang dengan Mak Abah tentang pelaburan hartanah, kerana sekarang aku dah dapat jawapan yang pasti dan betul2 menyakinkan aku.
Pada aku, membincangkan tentang isu pelaburan dan kewangan dengan ibubapa yang tidakla seberapa kaya adalah agak janggal. Namun, aku membuka minda aku dan cuba melontarkan persoalan yang menganggu fikiran aku. Kot - kot dapat simpati & doa, sekurang-kurangnya.
Tapi, rupanya Mak Abah sudah faham apa yang bermain di fikiranku dan dapat meneka kerisauan aku. Dan, mereka telah menerangkan dan menunjukajar aku perkara-perkara berkaitan mencari harta dunia ini.
Tak salah berbincang dengan makabah, dan aku bersyukur kerana aku mengambil sikap terbuka dan mendengar pendapat mereka. "First seek to understand, to be understood."
Kesimpulan
1. Mencari harta dan kekayaan adalah perhiasan dunia yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya. Maka hamba-hambaNya yang beriman lah yang lebih berhak mendapatkan perhiasan dunia yang disediakan Allah. Maka, tidaklah haram mahu pun fasik jika kita berusaha mencari kekayaan dunia.
2. Namun, orang beriman mencari kekayaan untuk kehidupan di akhirat. Tujuan utamanya adalah mempersiapkan bekalan di akhirat dengan bekalan di dunia. Maka, orang beriman memilih jalan-jalan menuju kekayaan yang dibenarkan syarak sahaja, agar harta yang diperolehi itu berkat dan halal. Keberkatan pada harta itulah yang dicari, bukannya harta itu semata-mata.
3. Mencari kekayaan dunia perlu diseimbangkan dengan amalan dan sedekah untuk bekalan kita di akhirat. Juga tidak lupa tanggungjawab kita kepada keluarga, isteri, anak-anak dan masyarakat.
4. Kita tidak perlu bercita-cita besar dalam mencari kekayaan, misalnya 'aku mahukan 100 buah hartanah dengan hutang dalam tempoh 20 tahun' kerana natijahnya kita tidak perlu menjadi tamak untuk hidup selesa. Cukuplah bercita-cita sederhana tapi selamat, misalnya 'aku mahu mempunyai beberapa buah hartanah dengan selesai hutang dalam 10 tahun'.
Kisahnya
Pada mulanya, aku meletakkan cita-cita yang tinggi. Aku mahukan 100 buah hartanah dalam masa 25 tahun. Aku fikirkan itulah kekayaan yang aku mahukan.
Tetapi, sejak dari mula lagi, aku sudah merasa tidak selesa dengan harapan itu. Ia terlalu besar untuk aku capai sedangkan pendapatan aku pun ciput aje dan aku bukanlah dilahirkan daripada golongan berada. Aku jadi resah dan mahu berputus asa.
Apabila aku mula memberikan fokus kepada mencapai cita-cita itu, aku dapati aku tak cukup masa. Aku tak berada pada posisi yang terbaik. Aku fikirkan aku akan boleh mencapai cita-cita itu sekiranya aku dapat duduk di bandar, dan meninggalkan makabah di kampung sendirian. Ini kerana aku boleh selalu melihat dan memantau perkembangan di bandar, di mana lokasi aku hendak mencari hartanah.
Namun, hati aku resah. Jiwa aku memberontak kerana tidak bersetuju untuk meninggalkan makabah. Aku sedar, hanya aku sahaja satu-satunya anak yang berkemampuan untuk tinggal bersama dengan makabah. Jika aku tinggalkan mereka, aku takut mereka akan rasa kesunyian dan aku lebih takut jika mereka beranggapan bahawa anak-anak mereka meninggalkan mereka setelah berjaya.
Aku jadi keliru. Antara mengejar kekayaan, atau terus duduk bersama makabah. Aku khuatir aku jatuh miskin dan selamanya tidak mampu untuk memiliki pelaburan hartanah yang aku idamkan. Aku konfius..
Namun, setelah aku berbincang dan bersikap terbuka menanyakan pendapat mereka akan persoalan yang bermain di fikiran aku ni, aku sudah mendapat jawapan yang benar-benar menenangkan hati aku.
1. Aku tidak perlu meninggalkan mereka dan aku masih boleh mencari hartanah sekali pun aku tinggal bersama makabah di kampung. Aku utamakan makabah daripada hartanah. Ini sekali gus melegakan jiwa aku.
2. Pelaburan hartanah? Aku sudah merancang bersama-sama makabah tentang strategi pelaburan hartanah aku. Iaitu..
SIMPAN duit seberapa banyak yang mampu tanpa mengorbankan keperluan-keperluan diri dan keluarga.
SELESAIKAN HUTANG yang tidak produktif dengan segera, dan elakkan buat hutang atau perbelanjaan yang tidak produktif seperti membeli kereta baru.
Laburkan duit dalam hartanah pada kadar yang mampu dibayar dengan pendapatan. JANGAN MELABUR MELEBIHI KEMAMPUAN. Selesaikan hutang dengan segera.
BELI HARTANAH YANG PRODUKTIF yang boleh dikutip sewanya dan mudah dijualnya.
Apabila KADAR BULANAN HUTANG MENYAMAI KADAR PENDAPATAN BULANAN, jangan berhutang lagi dan fokus kepada penyusutan hutang dengan segera.
Hm.. itulah strategi pelaburan aku. Faham?
Maksudnya sekiranya pendapatan aku untuk membayar hutang sebanyak RM1000 sebulan, maka cukup lah aku membeli 1 atau beberapa buah hartanah yang JUMLAH kadar bayaran bulanannya adalah RM1000. Sungguh pun aku mengharapkan penyewa aku yang akan bayar ansuran bulanan RM1000 itu, tetapi sekiranya aku tidak mampu mendapatkan penyewa yang betul, aku masih mampu bayar sendiri.
Itulah yang dinamakan RISK MANAGEMENT!
Tak rugi berbincang dengan orang tua. :)

No comments:
Post a Comment